Friday, January 8, 2010

Ya Allah! Nama-Mu Diperjuang, Hukum-Mu DiBuang!

Salam Jumaat..
Aku terpanggil untuk berkongsi sedikit perkara yang dok sibuk Umat Islam di Malaysia perkatakan..
Isu penggunaan kalimah Allah..
Keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly untuk menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan bahasa melayunya telah mengundang kemarahan segelintir umat Islam. Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 17hb Januari 2009 yang lalu telah melarang akhbar tersebut berbuat demikian, namun ternyata keputusan mahkamah akhirnya berpihak kepada mereka. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan telah memutuskan bahawa akhbar mingguan tersebut mempunyai hak untuk berbuat demikian dari segi Perlembagaan Persekutuan kerana Artikel 11(4) Perlembagaan hanya menghalang orang-orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah untuk menyebarkan agama kepada orang-orang Islam tetapi ia bukanlah larangan untuk orang-orang bukan Islam menggunakannya sesama mereka.

Setakat kajian yang telah dilakukan, dari dulu hingga sekarang pihak Kristian tidak pernah menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai Tuhan, baik di dalam kitab mahupun penulisan rasmi mereka, tetapi mereka menggunakan perkataan ‘God’. Lantas apakah agenda mereka kali ini sebenarnya? Tidak mustahil bahawa ini merupakan usaha terbaru mereka untuk mendakwahkan agama Kristian di kalangan orang Islam. ‘God’ diterjemah kepada ‘Allah’ supaya mudah difahami oleh anak-anak muda yang pastinya akan menolak sekiranya Nabi Isa dikatakan sebagai Tuhan. Hakikatnya, apa yang perlu disedari dan dilawan adalah keseluruhan dakyah Kristian itu sendiri, bukannya terperangkap dengan isu istilah yang mereka gunakan. Kita perlu bertanya kepada pihak yang bertanggungjawab apakah langkah yang mereka laksanakan untuk memantapkan dan menjaga akidah umat Islam? Apakah jalan yang mereka tempuh apabila mereka melihat para pendakwah Kristian gencar menarik anak-anak muda ke agama Kristian? Apa pula tindakan pemerintah ke atas kes-kes murtad yang semakin bertambah?
Kita memang yakin bahawa golongan Kristian dan Yahudi tidak akan henti-henti cuba menyesatkan umat Islam. Allah telah pun mengingatkan kita tentang perangai dua golongan kuffar ini. Ratusan tahun lamanya mereka berjuang melalui serangan missionaris dan juga orientalis untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Setelah ratusan tahun berusaha, mereka akhirnya berjaya melemahkan dan menghancurkan bukan sahaja umat Islam, malah Daulah Islam sekaligus. Khilafah berjaya mereka runtuhkan. Sejak itu hingga kini, usaha mereka masih tetap berterusan. Namun perlu diingat bahawa usaha jahat mereka sering mencapai kejayaan kerana lemahnya akidah umat Islam itu sendiri dan yang lebih utama, adanya ‘kerjasama’ dan ‘bantuan’ dari pihak pemerintah kaum Muslimin. Sekiranya akidah umat Islam itu lemah, tetapi jika sistem yang berjalan adalah sistem Islam, maka sistem ini akan dengan sendirinya menjaga akidah umat melalui penerapan hukum Islam yang syumul. Tetapi, dengan penerapan sistem sekular yang memisahkan agama dari kehidupan, maka para pemerintahlah yang telah mempermudahkan laluan puak kuffar ini untuk menyebarkan dakyah sesat mereka ke atas umat Islam. Apa tidaknya, pemerintah telah ‘menyediakan’ satu sistem demokrasi kufur yang diambil dari Barat, mereka juga menyediakan mahkamah kufur dengan undang-undang kufur, malah kadang-kadang hakim kafir atau jika hakim itu beragama Islam sekalipun, ‘kepala’nya dipenuhi dengan pemikiran dan hukum kufur. Semua ini telah mempermudahkan apa sahaja agenda jahat golongan kuffar ke atas umat Islam.
Wahai kaum Muslimin! Jika korang merasakan bahawa puak kuffar ingin memperdaya korang, sedarlah bahawa itulah juga yang sedang dilakukan oleh pemerintah sekular yang ada sekarang. Mereka telah lama memperdaya kita dan mereka akan terus memperdaya kita. Bila timbul isu sebegini contohnya, para pemerintah cuba berlagak sebagai penyelamat. Dengan memperjuangkan nama Allah, mereka menunjukkan seolah-olah merekalah golongan yang memperjuangkan Islam.

Waallahualam..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails