Monday, April 7, 2008

Islam Itu Kedamaian...



Ajaran Islam yang ditegakkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk kesejahteraan sekalian alam. Sejarah telah membuktikan bahawa kehidupan manusia sebelum diutuskan baginda SAW atau lebih dikenali dengan zaman Jahiliah adalah dalam keadaan yang penuh dengan pelbagai kezaliman seperti pembunuhan, permusuhan dan keganasan. Sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat didapati tidak berfungsi dengan baik. Golongan lemah sentiasa ditindas dan golongan yang kuat terus menjadi kuat dan berkuasa. Peperangan dan pembunuhan berlaku secara berleluasa di sana sini. Anak-anak dibunuh dengan kejam tanpa peri kemanusiaan, golongan wanita dipermainkan dan diperalatkan.Apabila tertegaknya Islam, kedamaian, kesejahteraan, kebahagiaan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat dapat dikembalikan. Persaudaraan dapat dibina, wanita-wanita telah diberikan kedudukan dan golongan lemah juga telah terbela.Inilah janji Allah yang terkandung dalam firman-Nya dalam surah al-Anbiyaa ayat 107:


Maksudnya: “Dan tiadalah kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”



Dunia dan Islam digemparkan dengan satu filem pendek 15 minit terbitan seorang ahli politik Belanda Geert Wilders. Di dalam filem itu Islam dikaitkan dengan pengganas dan kekejaman. Filem itu antara lain menyelitkan imej serangan pengganas 11 September 2001 di Amerika Syarikat dan serangan bom di stesen Madrid pada 2004 dengan beberapa petikan ayat al-Quran. Orang Islam sendiri menjadi mangsa serangan itu. Nyata filem ini melemparkan tuduhan yang tidak berasas.

Pengeluar filem terbabit cuba mengelirukan orang ramai dengan penggunaan petikan ayat al-Quran yang tidak lengkap dalam usaha memburukkan umat Islam di kalangan masyarakat dunia. Potongan ayat Al-Quran dieksploitasi untuk menggambarkan Al-Quran itu menyeru umatnya untuk bertindak ganas, memancung bukan Islam dan sebagainya. Wilders tidak mengeluarkan ayat itu sepenuhnya. Dia mengeluarkan ayat al-Quran berkaitan jihad. Dia ambil (ayat al-Quran) yang memerintahkan untuk kita berjihad dengan orang kufur, walhal dia lupa bahawa sebelum itu ayat berkenaan menceritakan bagaimana orang kufur menentang umat Islam, cuba nak hapuskan Islam.Jelas sekali Wilders tidak memahami Islam itu sepenuhnya dan filem yang dihasilkan atas lesen kebebasan bersuara ini dengan jelas sekali telah menghina Islam di seluruh dunia bukan sahaja di Belanda.Jadi apakah tindakan dan reaksi kita sebagai Muslim yang dihina sebegitu rupa? Mereka dengan sengaja melabelkan Islam itu agama pengganas sedangkan Islam tidak pernah mengajar umatnya berbuat begitu. Kita seharusnya bertindak dengan bijak. Kita perlu memperbetulkan anggapan salah ini. Jangan kita lupa Islam pernah menguasai 2/3 penduduk dunia satu masa dulu. Gunakan akal yang bijak untuk menangkis semua tuduhan salah itu seperti menghasilkan filem pendek yang menjawab segala tuduhan Wilders itu. Ayuh sama-sama kita menegakkan kesucian agama Islam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails