MAJALAH Time pada 2006 mencatat sejarah apabila menamakan komputer sebagai `Person of the Year’ atau tokoh tahun ini. Anda. Ya, anda. Anda menguasai era maklumat. Selamat datang ke dunia anda. Inilah kata-kata muka depan majalah itu. Ledakan pertumbuhan dan pengaruh hasil kandungan internet, terutama blog diiktiraf di peringkat global dua tahun lalu. Tahun ini, blog dan blogger menerima pengiktirafan di negara ini apabila kuasa dan pengaruhnya mula diakui. Keputusan pilihan raya umum ke-12 yang dipengaruhi oleh blog dan blogger adalah bukti utama. Kini tiada siapa dapat menafikan bahawa media baru ini mempunyai kedudukan, fungsi dan tanggungjawab dalam dunia maklumat.
Blog media baru berpengaruh
KIRA-KIRA 10 tahun lalu, sesiapa yang mengaku mempunyai blog dan bergelar penulis blog (blogger), dipandang seperti makhluk asing. Kini anda boleh membaca kira-kira 500,000 blog yang diwujudkan blogger negara ini. Kemunculan blog hanya mula diperkatakan sejak beberapa tahun lalu walaupun perhatian lebih tertumpu kepada blog politik.
Bagaimanapun, keadaan berubah secara drastik sejak kebelakangan ini. Ramai yang bercakap mengenai blog dan menjadi blogger. Kehangatan pengaruh blog dikaitkan dengan kempen pilihan raya umum ke-12 lalu apabila blog yang dikategorikan sebagai media baru digunakan secara berkesan sama ada oleh individu mahu pun parti politik. Mengulas perkembangan blog di negara ini, Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata antara perintis kemunculan blog di negara ini adalah sekumpulan blogger yang membentuk komuniti Geng Journal pada 1998. Ketika majoriti masyarakat masih buta mengenai blog, katanya blogger seperti Tok Rimau dan Bluehikari merintis minat terhadap blog.
Beliau berkata, perkembangan blog meningkat selepas insiden politik membabitkan penyingkiran bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dituruti kemunculan pelbagai blog seperti Mahazalim dan Mahafiraun.
Sejak empat tahun lalu, katanya perkembangan blog mula memberangsangkan, tetapi masih tidak disedari dan dipedulikan hingga Pilihan Raya Umum Ke-12, bulan lalu, blog menonjolkan pengaruh sebagai media baru yang memberi kesan besar. Bluehikari atau nama sebenarnya, Ludinata Misnun, berkata ketika Tok Rimau, iaitu bekas Presiden Geng Jurnal membentangkan kertas penyelidikan bertajuk Web Log: Kuasa menerbit di hujung jari dalam satu seminar peringkat kebangsaan pada 2002, isu blog yang dibentangkan itu kurang mendapat sambutan. Selain itu, katanya membuat blog ketika itu lebih susah kerana prosesnya sama seperti membina laman web yang perlu membuat reka bentuk sendiri. Katanya, zaman sekarang untuk berblog sangat mudah kerana ada laman web menyediakan kemudahan blog seperti Blogspot, Wordpress atau Diaryland. Hanya perlu daftar, pilih reka bentuk diminati dan mula menulis. Hari ini, ramai yang bergelar blogger, tetapi semudah itukah menjadi blogger? Rebecca Blood, seorang blogger veteran yang juga pengarang The Weblog Handbook, menyatakan blogger adalah mereka yang sangat berminat terhadap web. Evan Williams yang mengasaskan Blogger.com pula berpandangan bahawa blogger adalah golongan muda yang menggunakan blog untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya. Sudah tentu hari ini, ada blogger veteran berumur lingkungan 50-an atau lebih tua, tetapi majoriti blogger adalah golongan muda yang dinamik, luar biasa, mempunyai pendirian dan tidak takut melahirkan pandangan mereka. Setiap orang boleh memberi 1001 macam alasan untuk memiliki blog, tetapi blogger adalah seorang yang tahu menghargai pandangannya. Tanyalah kepada sesiapa yang memiliki blog. Mengemas kini blog setiap hari menyebabkan dirinya mempertimbangkan pandangannya dengan berhati-hati serta berasakan pandangannya unik dan perlu disuarakan. Pada masa sama, ada ramai blogger yang hanya memuatkan luahan hati kecewa, putus harapan dan meracau tidak tentu hala. Blog begini selayaknya dimasukkan ke dalam bakul sampah. Seorang blogger harus mampu melahirkan dirinya dalam penulisan, mahu berkomunikasi dengan orang lain dan berterus terang. Blogger, Yasser Arafat Ishak yang dikenali sebagai Jiwarasa berkata, blog yang baik selalunya akan mendapat perhatian dan ibarat pasaran terbuka yang pengunjung mempunyai pilihan. Blog yang baru sering meletakkan alamat blog yang bagus di blog masing-masing. Katanya, memuatkan blog yang bagus di blog masing-masing bagaikan satu trend untuk menempatkan diri dalam kelompok blog. “Pengunjung blog juga cerdik dan bijak memilih bahan yang baik. Mereka selalunya akan membuat rujukan silang di mesin carian Yahoo dan Google untuk mendapat kepastian sesuatu fakta yang ditulis di blog,” katanya. Apakah faktor yang menyebabkan blog popular? Sifat interaktif adalah punca menyebabkan blog mendapat perhatian ramai. Semua orang berpeluang memberikan pandangan walaupun tidak semua pandangan itu bernilai. Blog bukan saja membolehkan blogger memberikan pandangan mengenai sesuatu isu, tetapi pembaca menyuarakan pandangan masing-masing. Anda mahu bersetuju, membangkang, menambah maklumat dan fakta baru. Semuanya dalam blog.
No comments:
Post a Comment